#kanser #ovari

8 Tanda & Gejala Kanser Ovari

8 tanda & gejala kanser ovari

Kanser ovari merupakan sejenis kanser yang terjadi di ovari. Sistem pembiakan wanita mengandungi dua ovari, setiap satu berada disebelah uterus. Ovari yang fizikalnya bersaiz kacang badam menghasilkan sel telur dan juga hormon estrogen dan progesteron.

Kanser ovari biasanya berlaku di kalangan wanita berusia antara 40-60 tahun. Akan tetapi, kanser ini juga boleh terjadi pada remaja yang berusia lingkungan 20 tahun. Di Malaysia, kanser ovari merupakan kanser ketiga utama dengan jumlah kes sebanyak 1754 pada tahun 2007-2011 dan dominan di kalangan bangsa cina berbanding melayu dan india.

Kebiasaannya kanser ovari tidak dapat dikesan sehinggalah merebak ke pelvis dan abdomen. Pada ketika ini, kanser ovari telah menjadi peringkat akhir dan agak sukar untuk dirawat. Kerana itu, kanser ovari juga dikenali sebagai pembunuh senyap di kalangan wanita. Sebaliknya, kanser ovari di peringkat awal di mana kanser masih lagi berada di ovari, mempunyai harapan untuk sembuh yang lebih cerah. Kaedah rawatan yang biasa digunakan untuk kanser ovari adalah melalui pembedahan dan kemoterapi.

Jenis-jenis kanser ovari:

  • Ketumbuhan epitelium- yang bermula di lapisan nipis tisu yang meliputi luar ovari. Kira-kira 90% kanser ovari adalah terdiri daripada jenis ini.
  • Ketumbuhan stroma- yang bermula di tisu ovari yang mengandungi sel-sel perembes hormon. Jenis ketumbuhan ini biasanya dapat didiagnos pada peringkat awal berbanding jenis yang lain. Kira-kira 7% kanser ovari adalah ketumbuhan stroma.
  • Ketumbuhan sel germa- yang bermula di sel-sel penghasilan telur. Ketumbuhan sel germa kebiasaannya berlaku pada wanita muda dan merupakan jenis kanser ovari yang jarang-jarang terjadi.

Kanser ovari peringkat awal jarang menunjukkan sebarang tanda dan gejala. Kanser ovari peringkat lanjut mungkin menunjukkan beberapa tanda dan gejala tidak khusus dan sering disalah anggap sebagai gejala penyakit kronik lain.

Tanda dan gejala:

  • Pendarahan berlebihan
  • Kembung perut
  • Kekejangan yang ekstream
  • Sakit belakang
  • Masalah ketidakcernaan
  • Rasa cepat kenyang apabila makan
  • Kekerapan buang air kecil
  • Kesukaran bernafas

Segeralah berjumpa dengan pakar kesihatan jika anda mengalami mana-mana tanda dan gejala seperti di atas. Maklumkan kepada pakar perubatan jika anda mempunyai kaum keluarga yang mengidap kanser ovari atau kanser payudara. Pakar perubatan mungkin akan merujuk kes anda kepada kaunselor genetik untuk membincangkan ujian-ujian tertentu untuk menilai sebarang mutasi genetik yang boleh meningkatkan risiko kanser ovari.

Punca utama yang menyebabkan kanser ovari adalah masih tidak jelas, walaupun terdapat pelbagai faktor yang mampu meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit ini. Petunjuk yang meyakinkan masih lagi bergantung kepada perubahan genetik yang menyebabkan sel normal menjadi sel kanser. Populasi sel kanser ini mempunyai kadar survival yang tinggi berbanding sel normal dan mampu merebak ke organ lain.

Para penyelidik telah mengenalpasti faktor genetik, hormon, umur dan usia kitaran haid (awal atau lambat) yang mampu meningkatkan risiko kanser ovari. Sebahagian kecil kanser ovari adalah disebabkan oleh mutasi gen yang diwarisi daripada keluarga. Mutasi gen BRCA1 dan BRCA2 didapati dapat meningkatkan risiko untuk mendapat kanser ovari. Ujian darah dapat mengenalpasti mutasi genetik ini. Kajian saintifik menunjukkan bahawa menopos awal dan pembentukan sista meningkatkan risiko mendapat kanser ovari. Selain daripada itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan pengaruh bahan toksik dan toksin dalam pembentukan kanser ovari. Pengumpulan bahan toksik dan toksin melalui penggunaan ubatan tertentu, infeksi bakteria dan virus serta pengambilan makanan yang mengandungi logam berat berpotensi tinggi meningkatkan risiko mendapat kanser ovari.

Namun perlu diingat bahawa semua faktor ini hanyalah penyebab yang meningkatkan risiko mendapat kanser ovari. Seseorang yang terdedah kepada satu faktor atau lebih mungkin akan menghidap atau tidak mendapat kanser ovari sama sekali. Interaksi genetik individu terhadap faktor berisiko mungkin menjadi penyebab pembentukan kanser ovari. Sementara itu, saringan awal dan tidak mengambil pil perancang dapat mengurangkan risiko kanser ovari.


Rujukan:

1. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ovarian-cancer/symptoms-causes/syc-20375941
2. http://www.myhealth.gov.my/kanser-ovari/
3. Laporan daftar kanser kebangsaan 2007-2011.
4. Moorman PG, Calingaert B, Palmieri RT, Iversen ES, Bentley RC, Halabi S, Berchuck A, Schildkraut JM. Hormonal risk factors for ovarian cancer in premenopausal and postmenopausal women. American journal of epidemiology. 2008 Feb 25;167(9):1059-69.
5. Cramer DW, Welch WR. Determinants of ovarian cancer risk. II. Inferences regarding pathogenesis. Journal of the National Cancer Institute. 1983 Oct 1;71(4):717-21.
6. Kobayashi H, Sumimoto K, Moniwa N, Imai M, Takakura K, Kuromaki T, Morioka E, Arisawa K, Terao T. Risk of developing ovarian cancer among women with ovarian endometrioma: a cohort study in Shizuoka, Japan. International Journal of Gynecologic Cancer. 2007 Jan 1;17(1):37-43.
7. Crayford TJ, Campbell S, Bourne TH, Rawson HJ, Collins WP. Benign ovarian cysts and ovarian cancer: a cohort study with implications for screening. The Lancet. 2000 Mar 25;355(9209):1060-3.
8. Harlow BL, Cramer DW, Baron JA, Titus-Ernstoff L, Greenberg ER. Psychotropic medication use and risk of epithelial ovarian cancer. Cancer Epidemiology and Prevention Biomarkers. 1998 Aug 1;7(8):697-702.
9. Shanmughapriya S, Senthilkumar G, Vinodhini K, Das BC, Vasanthi N, Natarajaseenivasan K. Viral and bacterial aetiologies of epithelial ovarian cancer. European journal of clinical microbiology & infectious diseases. 2012 Sep 1;31(9):2311-7.
10. Türkdoğan MK, Kilicel F, Kara K, Tuncer I, Uygan I. Heavy metals in soil, vegetables and fruits in the endemic upper gastrointestinal cancer region of Turkey. Environmental toxicology and pharmacology. 2003 Apr 1;13(3):175-9.



Kongsi