Research Ibnu Sina

Adakah Ibnu Sina Berfahaman Syiah?

Adakah Ibnu Sina berfahaman Syiah?

Perjalanan keilmuan Ibnu Sina bermula apabila keluarganya berpindah ke wilayah Bukhārā. Seawal usia 5 tahun beliau telah lancar membaca al-Quran manakala ketika berusia 10 tahun beliau telah menghafal al-Quran. Walaupun keluarga Ibnu Sina mementingkan pendidikan agama, namun ia bukanlah pendidikan agama semata-mata. Rumah menjadi tempat pembelajaran pertama bagi Ibnu Sina di mana para tetamu telah dijemput untuk mengajarkan disiplin ilmu-ilmu tertentu. Ibnu Sina berkata

“Bapaku adalah orang yang bertanggungjawab menjemput orang mesir (Fatimid) dan mereka yang terkenal di kalangan Isma’īlī ke rumah.”

Ketika itu, rumahnya penuh dengan aktiviti perbincangan ilmiah antara bapa dan abangnya dengan tetamu jemputan. Antara topik yang diperbincangkan adalah persoalan berkaitan roh yang dihuraikan oleh orang-orang Isma’īlī, dan ternyata Ibnu Sina tidak bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh mereka. Isma’īlī merupakan pecahan kepada fahaman syiah dan keluarga Ibnu Sina dipercayai mempunyai hubungan rapat dengannya. Ini menunjukkan Ibnu Sina mempunyai fahaman tersendiri mengenai sesuatu ilmu tanpa dipengaruhi oleh faktor sekeliling.

Para tetamu yang datang ada mempelawa Ibnu Sina untuk menyertai perbincangan tentang falsafah, geometri dan aritmetik India. Inilah yang menjadi titik tolak permulaan pembelajaran Ibnu Sina terhadap disiplin ilmu falsafah dan mantik. Ibnu Sina juga telah dihantar ke kedai-kedai tertentu bagi mempelajari pengiraan kerana ia merupakan asas kepada aritmetik India. Malah pada masa yang sama, Ibnu Sina telah mempelajari fiqh Islam secara sendirian dan menjadikan orang-orang zuhud sebagai rujukan mempelajari kaedah perbahasan ilmu agama.

Pelbagai teori telah dibuat tentang mazhab anutan Ibnu Sina. Sejarawan abad pertengahan, Ẓahīr al-dīn al-Bayhaqī menganggap Ibnu Sina sebagai anggota ‘Breathren of Purity’ iaitu pergerakan rahsia yang dianggotai oleh ahli falsafah Islam ketika itu. Dimitri Gutas, Aisha Khan dan Jules J. Janssens pula mendakwa bahawa Ibnu Sina bermazhab Hanafi. Ini kerana Ibnu Sina banyak mempelajari undang-undang dan perbahasan mazhab Hanafi dan ramai pengajarnya merupakan penganut mazhab Hanafi. Malah Ibnu Sina pernah berkhidmat di mahkamah Hanafi yang diketuai oleh Ali ibn Mamun.

Namun terdapat juga sarjana seperti Sharaf Khorasani yang berpendapat bahawa Ibnu Sina berfahaman Syiah berdasarkan penolakannya terhadap pelawaan Sultan Mahmoud Ghazavani yang bermazhab ahli sunnah. Malah masih ramai yang menyangka Ibnu Sina berfahaman syiah kerana latar belakang keluarga dan kandungan penulisannya berkaitan falsafah ketuhanan yang tidak selari dengan mereka yang mahir dalam bidang tauhid, fiqh dan hadith.

Memetik penulisan mengenai fahaman Ibu Sina oleh pejabat mufti Wilayah Persekutuan, perdebatan dan pertikaian yang berlebih-lebihan pada perkara yang telah berlalu tidak memberi banyak manfaat. Ini bertepatan dengan apa yang dijawab oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal apabila ditanya mengenai pendirian beliau tentang pertelingkahan antara para sahabat Baginda SAW sewaktu Perang Siffin dan Perang Jamal. Imam Ahmad menyedari bahawa perdebatan dalam persoalan ini adalah tidak bermanfaat, lantas menjawab dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.

Surah al-Baqarah (134)

Sebenarnya Ibnu Sina sendiri terpaksa menghadapi sikap kurang senang masyarakat mengenai fahaman dan latar belakang keluarganya lalu memaksa beliau berpindah daripada Bukhārā. Walau bagaimanapun, hal ini tidak diceritakan oleh Ibnu Sina secara jelas kepada sesiapa sahaja sama ada kepada teman rapat mahupun anak-anak muridnya. Namun begitu, kata-kata Ibnu Sina jelas menggambarkan kepahitan yang terpaksa beliau telan akibat dituduh oleh sultan sebagai pengamal agama yang sesat. Ini mungkin disebabkan oleh kurangnya penerimaan terhadap perkembangan ilmu sains perubatan pada ketika itu.

RUJUKAN

  • Adamson P, editor. Interpreting Avicenna: Critical Essays. Cambridge University Press; 2013 Jul 4.
  • Afnan SM. Avicenna: His life and works. Routledge; 2015 Oct 14.
  • Erolin C, Shoja MM, Loukas M, Shokouhi G, Rashidi MR, Khalili M, Tubbs RS. What did Avicenna (Ibn Sina, 980–1037 AD) look like?. International journal of cardiology. 2013 Sep 1;167(5):1660-3.
  • Goodman LE. Avicenna. Cornell University Press; 2006.
  • Ibn Sina AA. al-Qanun fi al-Tibb. Lebanon: Alamy Le-Al-Matbooat Institute. 2005:125-7.
  • Janssens JL. An annotated bibliography on Ibn Sînâ (1970-1989): including Arabic and Persian publications and Turkish and Russian references. Leuven University Press; 1991.
  • Khan A. Avicenna (Ibn Sina): Muslim physician and philosopher of the eleventh century. The Rosen Publishing Group, INC; 2006 Jan 15.
  • Levy R. Avicenna—his life and times. Medical history. 1957 Jul;1(3):249-61.
  • Madelung W, editor. Avicenna’s Allegory on the Soul: An Ismaili Interpretation. Bloomsbury Publishing; 2015 Oct 19.
  • Smith RD. Avicenna and the Canon of Medicine: a millennial tribute. Western Journal of Medicine. 1980 Oct;133(4):367.
  • Unit Buhuth Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan. AL-AFKAR#108: BENARKAH IBNU SINA SEORANG SYIAH? Diperolehi pada 27 Julai 2020 daripada https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/4479-al-afkar-108-benarkah-ibnu-sina-seorang-syiah
  • Zargaran A, Mehdizadeh A, Zarshenas MM, Mohagheghzadeh A. Avicenna (980–1037 AD). Journal of neurology. 2012 Feb 1;259(2):389-90.

Kongsi