Lote Tree Honey

Spread the love

Madu pokok bidara Ziziphus spina-christi

Madu pokok Lote (juga dikenali sebagai bidara duri Krist, Sidr atau Nabkh) dengan nama saintifiknya Ziziphus spina-christi merupakan pokok purba natif dikawasan utara dan tropika Afrika,  juga di Selatan dan Barat Asia di mana pokok Lote yang berusia lebih kurang 2000 tahun boleh didapati di Jerusalam. Menurut riwayat, buah bidara merupakan makanan pernama yang dimakan oleh Nabi Adam A.S. setelah diturunkan ke dunia. Pokok bidara juga dikatakan digunakan untuk membina istana pada zaman nabi Sulaiman dan kuil Firaun[1]. Pokok ini juga dianggap istimewa oleh Muslim,Yahudi dan Kristian kerana namanya disebut dalam kitab agama masing-masing[2]. Pokok bidara disebut sebanyak empat kali di dalam al-Quran[3]. Dalam surah as-Saba’, pokok bidara dirujuk sebagai tumbuhan bumi manakala dalam surah Waqiah (ayat 28) dan Najm, ia dirujuk sebagai tumbuhan syurga (Sidrat al-Muntaha).

Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara. (Surah Saba’:16)

Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. (Surah al-Waqiah:28)

Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi. Di sisi “Sidratul-Muntaha”. Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ” Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. (Surah An-Najm: 13-16)

Farooqi dalam bukunya ‘Plants of the Quran’ telah menerangkan secara terperinci kebarangkalian pokok badara duri Krist sebagai ‘Sidr’ yang disebut di dalam al-Quran. Akan tetapi, beliau juga tidak menolak kebarangkalian bahawa pokok “sidr’ itu merujuk kepada bidara daripada spesies Lotus atau pokok Cedar Lubnan yang biasa didapati di tanah arab[4].

Apa yang menariknya ialah lebah yang mengumpul madu daripada bunga pokok bidara duri Krist sahaja kadang-kala mati setelah membuat tiga kali perjalanan pengumpulan madu[5]. Lazimnya, lebah biasa mampu membuat 37 000 perjalanan untuk mendapatkan sekilogram madu. Sekilogram madu bidara Ziziphus spina-christi dengan kadar kelembapan 18% (wt/wt) mengandungi 820g gula ringkas, di mana sebatang pokok bidata Ziziphus spina-christi hanya mampu menghasilkan 3.6kg madu[6]. Kerana itulah madu daripada bunga pokok bidara Ziziphus spina-christi sangat berpotensi tinggi dan berkualiti premium. Madu bidara Ziziphus spina-christi mempunyai rasa yang mengagumkan[7] dan biasanya dijual dengan harga yang lebih mahal berbanding madu daripada bunga pokok lain[8]. Madu yang berkualiti tinggi dituai pada musim sejuk, diikuti yang dituai pada musim bunga, luruh dan panas. Ciri-ciri antioksidan, antikanser, antiradang, antiulser, antibakteria, dan antipiretik meningkatkan lagi nilai khasiat madu ini unuk untuk kesihatan manusia.

Rujukan:


[1] Manniche L, London British Museum. An ancient Egyptian herbal. Austin: University of Texas Press; 1989 Jan.

[2] Dafni A, Levy S, Lev E. The ethnobotany of Christ’s Thorn Jujube (Ziziphus spina-christi) in Israel. Journal of Ethnobiology and Ethnomedicine. 2005 Dec;1(1):8.

[3] Marwat SK, Khan MA, Khan MA, Ahmad M, Zafar M, Rehman F, Sultana S. Fruit plant species mentioned in the Holy Qura’n and Ahadith and their ethnomedicinal importance. American-Eurasian Journal of Agricultural and Environmental Science. 2009;5(2):284-95.

[4] Farooqi MI. Plants of the Quran. Sidrah Publishers; 1992.

[5] http://sidrhoney.tripod.com/id2.html

[6] Nuru A, Awad AM, Al-Ghamdi AA, Alqarni AS, Radloff SE. Nectar of Ziziphus spina-christi (L.) Willd (Rhamnaceae): dynamics of secretion and potential for honey production. Journal of Apicultural Science. 2012 Dec 1;56(2):49-59.

[7] Pundyk G. The Honey Trail: In Pursuit of Liquid Gold and Vanishing Bees. St. Martin’s Press; 2010 Aug 3.

[8] Sudhersan C, Hussain J. In vitro Clonal Propagation of a Multipurpose Tree, Ziziphus spina-christi (L.) Desf. Turkish Journal of Botany. 2003 Mar 24;27(3):167-72.

WhatsApp chat