Madu

Nutrisi Madu, Khasiat dan kebaikannya.

Nutrisi Madu

Monosakarida seperti fruktosa dan glukosa merupakan komponen gula utama dalam madu. Monosakarida adalah bentuk gula paling ringkas yang mudah dicernakan dan diserap ke salur darah, lalu merangsang pankreas untuk merembeskan insulin. Insulin berfungsi sebagai pemberi isyarat kepada sel supaya menyerap glukosa untuk disimpan atau digunakan sebagai tenaga.

Dalam proses penghadaman madu, fruktosa dan glukosa akan segera diserap ke dalam darah dan digunakan sebagai tenaga untuk keperluan tubuh badan. Selain monosakarida, terdapat juga kira-kira 25 oligosakarida berbeza dalam madu seperti disakarida sukrosa, maltosa, trehalosa, turanosa, panosa, 1-kestosa, 6-kestosa, palatinosa, melezitosa dan rafinosa.

“Pengambilan 20g madu setiap hari dapat memenuhi kira-kira 3% keperluan tenaga harian. Dengan kata lain, apabila seseorang mengamalkan 10 sudu besar madu setiap hari, ia dapat membekalkan kira-kira 20% daripada keperluan tenaga hariannya.”

Selain daripada itu, madu juga mengandungi kira-kira 0.5% protein yang kebanyakkannya terdiri daripada enzim dan asid amino bebas. Kandungan protein yang direkodkan daripada pelbagai jenis sumber nektar telah menunjukkan bahawa 1000 µg/g merupakan paras tertinggi yang boleh diperolehi.

Terdapat tiga enzim utama yang terdapat dalam madu iaitu: i) diastase iaitu enzim amilase yang memecahkan kanji dan glikogen ke bentuk gula ringkas, ii) invertase (sukrose, α-glukosidase) yang memecahkan sukrosa kepada fruktosa dan glukosa dan iii) glukosa oksidase yang menghasilkan hidrogen peroksida dan asid glukonik daripada glukosa.

Walaupun diastase merupakan enzim yang paling banyak didapati, namun terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi kadar diastase dalam madu seperti jenis madu, kadar pH, pola perjalanan lebah dan tempoh masa penyimpanan madu.

Oleh itu kadar diastase bukanlah kayu ukur kepada kualiti madu. Invertase pula merupakan enzim yang ditambah oleh lebah pada madu yang menyebabkannya menjadi matang. Invertase dianggap sebagai kunci perubahan kimia yang berlaku semasa pertukaran bentuk nektar kepada madu. Kandungan invertase dalam madu adalah sedikit dan mudah nyahaktif pada suhu tinggi.

Glukosa oksidase merupakan satu lagi enzim yang berasal daripada lebah dan dipindahkan ke madu dan berfungsi mengoksidakan glukosa dalam madu yang telah matang. Enzim ini menukarkan glukosa ke δ-glukonolakton yang dihidrolisiskan kepada asid glukonik iaitu asid utama dalam madu. Ia juga menghasilkan hidrogen peroksida yang berfungsi sebagai antibakteria.

Glukosa oksidase merupakan enzim aktif dalam nektar tetapi menjadi tidak aktif dalam madu. Walau bagaimanapun, mencairkan madu dengan air dapat mengaktifkan semula enzim ini. Enzim ini juga sangat sensitif kepada cahaya dan haba.

Madu mengandungi pelbagai jenis vitamin dan mineral, akan tetapi jumlah adalah kecil dan sumbangannya terhadap keperluan harian badan adalah tidak mencukupi.

Madu mengandungi kromium, mangan dan selenium yang penting terutamanya bagi kanak-kanak yang berumur antara 1-15 tahun. Kandungan elemen sulfur, boron, kobalt, fluorida, iodin, molibdenum dan silikon juga penting dalam nutrisi seharian. Madu mengandungi 0.3-25mg/kg kolina dan 0.06-5mg/kg asetilkolina. Kolina sangat penting untuk kardiovaskular, fungsi otak dan membaiki komposisi selaput sel sementara asetilkolina bertindak sebagai pengutus saraf (neurotransmiter).

Kajian menyeluruh telah menemui lebih daripada 500 sebatian aktif dalam pelbagai jenis madu di seluruh dunia. Apa yang menariknya adalah kandungan sebatian aroma ini berbeza mengikut jenis madu dan bergantung kepada punca asal madu tersebut. Polifenol merupakan antara kumpulan sebatian aktif terpenting yang terkandung dalam madu.

Terdapat lebih kurang 50-500 mg/kg polifenol yang terkandung dalam pelbagai jenis madu. Antara polifenol utama dalam madu ialah flavonoid seperti kuersetin, luteolin, kaempferol, apigenin, chrysin dan galangin.

Kandungan flavonoid dalam madu boleh mencapai sehingga 460µg/100g pada musim kemarau yang bersuhu tinggi. Selain itu, madu juga mengandungi polifenol lain seperti asid fenolik dan bahan-bahan terbitannya. Kesemua sebatian ini mempunyai ciri-ciri antioksidan yang sangat bagus untuk menyingkirkan radikal bebas daripada badan.

Nilai Nutrisi per 100 g (3.5 oz)
Tenaga 300 kcal
1270 kJ
Karbohidrat
82.4g
Gula 82.12g
Serat 0.2g
Lemak 0g
Protein 0.3g
Air 17.10g
Riboflavin
(Vitamin B2)
0.038mg 3%
Niasin (Vitamin B3) 0.121mg 1%
Asid
pantotenik (Vitamin B5)
0.068mg 1%
Vitamin C 0.5mg 1%
Kalcium 6mg 1%
Zat besi 0.42mg 3%
Magnesium 2mg 1%
Fosforus 4mg 1%
Kalium 52mg 1%
Natrium 4mg 0%
Zink 0.22mg 2%

KHASIAT DAN KEBAIKAN MADU

Khasiat dan kebaikan madu adalah disebabkan oleh kandungan nutrisinya. Kandungan enzim dan sebatian aktif dalam madu mempunyai nilai perubatan yang tinggi seperti antioksidan, antibakteria, antiradang, antiseptik, antibiotik dan afrodisiak semulajadi. Kebanyakan madu mengandungi kira-kira 75-750mg asid askorbik dalam setiap 100g madu manakala sesetengah jenis madu pula mengandungi kurang 5mg/kg. Sebagaimana yang diketahui umum, asid arkorbik bersifat antioksidan dan sangat penting bagi menentang radikal bebas seperti toksin yang terkumpul dalam badan yang menyebabkan pelbagai kompilasi masalah kesihatan seperti penuaan, penyakit jantung dan kanser. Menurut kajian, madu yang berwarna gelap mengandungi lebih banyak sebatian aktif dan tinggi kadar antioksidannya.

Perkembangan kajian sains telah mengiktiraf keberkesanan penggunaan madu dalam perubatan tradisional dan alternatif untuk menangai masalah infeksi bakteria rintang antibiotik yang dipanggil ‘superbug’. Kerana kandungan enzim dan sebatian aktif yang berbeza, setiap madu memberikan tindakbalas aktiviti antibakteria yang pelbagai. Madu yang tidak berkualiti sama nilainya dengan
gula biasa yang tidak mengandungi sebarang nilai antibakteria sementara madu yang berkualiti pula mampu merencatkan pertumbuhan bakteria walaupun telah dicairkan sehingga 100 kali ganda. Meskipun madu mempunyai nilai antibakteria, namun ini khusus kepada pertumbuhan bakteria jahat sahaja. Ini kerana kajian menunjukkan madu dapat menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam usus yang dipanggil probiotik. Madu berasa manis kerana mengandungi gula dan mampu membekalkan tenaga, akan tetapi jangan samakan manis madu dengan gula biasa kerana ianya sangat berbeza dari segi nilai perubatannya. Gula biasa merupakan hasil produk yang telah diproses dan mengandungi bahan kimia sedangkan madu asli tidak diproses bagi mengekalkan khasiatnya.

Selain daripada itu, madu mengandungi kuprum dan magnesium yang dapat meningkatkan jumlah sel darah merah dalam badan. Amalan meminum campuran satu sudu madu dengan segelas jus lemon setiap pagi ketika perut kosong dapat menentang penyakit anemia. Madu juga mengandungi zat besi yang membantu untuk sistem peredaran darah. Ramai yang tidak mengetahui bahawa madu juga mengandungi vitamin C yang sangat bagus untuk kesihatan kulit. Madu boleh digunakan untuk merawat penyakit kulit seperti kulit merekah dan bersisik. Amalan menyapu madu di sekitar kulit luka juga dapat mempercepatkan proses penyembuhan. Malah, masalah kulit kepala seperti kelumumur dan dermatitis juga boleh dirawat dengan madu.

Meminum teh atau jus lemon yang dicampurkan bersama madu dapat melegakan sakit tekak. Namun, madu sahaja sudah cukup berkesan untuk melegakan batuk. Dalam kajian yang melibatkan kanak-kanak berusia 2 tahun ke atas dengan masalah pernafasan telah menunjukkan bahawa pengambilan 2 sudu kecil madu setiap hari sebelum tidur dapat merawat batuk dan membantu untuk tidur lebih lena. Malah kajian juga menunjukkan keberkesanan madu merawat batuk adalah setara dengan penggunaan ubat batuk seperti dextromethorphan.

Sementara itu, Dr Ron Fessenden dalam bukunya ‘Honey Revolution’ telah mengatakan bahawa saintis telah mendapati bahawa kandungan flavonoid dalam madu dapat mencegah dan merawat kanser. Walaupun kajian khusus tentang khasiat madu masih diperingkat awal, tetapi kajian hubungkait antara pengambilan madu dengan kanser telah mendapati bahawa madu dapat mengurangkan risiko mendapat kanser.

Selain daripada itu, madu juga sangat bagus untuk menaikkan syahwat. Campuran madu dengan biji lobak merah boleh bertindak sebagai afrodisiak iaitu perangsang syahwat. Campuran madu dengan kacang, ginseng dan herba tertentu pula dikatakan mempunyai kesan yang lebih bagus berbanding Viagra dan tidak mempunyai sebarang kesan sampingan.

Kongsi