Madu

SEJARAH MADU DALAM PERUBATAN TAMADUN DUNIA

SEJARAH MADU DALAM PERUBATAN TAMADUN DUNIA

Selama 4000 tahun warisan turun temurun prenskripsian madu dalam bidang perubatan telah direkodkan. Madu digunakan secara tradisional untuk merawat pelbagai penyakit dan apa yang menariknya adalah ia masih diamalkan sehingga kini. Sebagai contoh, kesemua 200000 pengamal perubatan tradisional di Negeria masih menggunakan madu di dalam ramua ubat-ubatan mereka. Sebarang pengetahuan dan rekod berkaitan penggunaan madu adalah sangat penting bagi kegunaan generasi akan datang.

Sebagai contoh, lembaran papirus Mesir kuno yang ditulis sekitar 1290-1900 sebelum Masihi ada menerangkan mengenai amalan perubatan pada zaman tersebut termasuklah penggunaan madu.  Preskripsi madu pertama di dunia ditulis dalam aksara kuneiform di atas tablet tanah liat Sumerian yang ditulis sekitar 2000-2100 sebelum Masihi. Preskripsi ini mungkin memperkatakan tentang madu untuk kegunaan luaran kerana sebahagian aksara telah musnah dan teks yang lengkap tidak dapat dibaca. Ianya tertulis seperti berikut:

“Kisar sehingga menjadi serbuk debu sungai…(aksara musnah) dan, kemudian ulinya bersama air dan madu, dan biarkan minyak and minyak sedar panas tersebar ke atasnya.”

Menurut Leibovici, perubatan Babilon dan Assyria menggunakan madu dalam preskripsi ubat untuk merawat penyakit mata dan telinga. Dalam perubatan Ayuverdik India kuno pula, pes mentega madu digunakan selepas pembedahan yang menyakitkan seperti selepas menindik telinga.

Lembaran papirus Eber pada zaman Mesir kuno merekodkan 147 preskripsi madu untuk kegunaan luaran. Antaranya, madu digunakan untuk merawat penyakit mata, keguguran rambut, luka luaran, kesan terbakar dan penyakit kulit. Penggunaan madu untuk merawat luka telah diamalkan secara meluas oleh tamadun Mesir kuno, Assyria, Yunani, dan Roman. Sebagai contoh, dua jenis rawatan luka yang dicatatkan oleh perubatan Mesir kuno mengandungi madu dalam penyediaan:

“panaskan cuka putih yang kuat, madu, tawas Mesir, natrium karbonat, dan sedikit hempedu.”

“panaskan madu bersama kuprum oksida merah.”

Kajian Herophilus iaitu pengasas sekolah perubatan Alexandria sekitar 300 sebelum Masihi, telah mengenalpasti 3 kaedah lazim yang biasa digunakan masyarakat Mesir ketika itu untuk merawat luka termasuklah penyediaan salap berasaskan madu dan lemak haiwan. Penggunaan madu untuk merawat luka diwarisi daripada zaman Yunani ke Rom namun tidak pada perubatan Hippocrates. Namun Hippocrates ada menyatakan ciri fizikal madu dengan mengatakan:

“Ia (madu) menyebabkan rasa panas, membersihkan kudis dan ulser, melembutkan ulser keras di bibir, merawat bisul karbunkel dan kudis.”

Dalam perubatan Rom pula, Celsus mencadangkan penggunaan madu untuk membersihkan luka lama dan Pliny pula mengatakan madu diletakkan pada bebola kapas semasa membersihkan luka tersebut. Selain daripada itu, manuskrip Anglo-Saxon yang ditulis sekitar 1000-1100 Masihi yang kini berada di Perpuastakaan Perubatan bersejarah Wellcome di London ada mengatakan:

“Untuk menyediakan salap bagi penyakit tumor, seseorang haruslah mengambil madu asli sebanyak yang digunakan untuk menyedapkan rasa bubur…”; kemudiannya disertai senarai herba yang boleh digabungkan. 

Sementara itu, tamadun Maya menggunakan madu sebagai rawatan untuk penyakit katarak, pterigium mata dan keradangan (konjunktivitis) pada selaput halus yang menutupi bola mata dan lapisan kelopak mata. Selain itu mereka juga menggunakan madu untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka dan kesan kebakaran, laringitis, resdung, demam kepialu (tifoid), bronkitis, batuk dan serangan bakteria. Dalam perubatan Cina pula, madu dipercayai dapat menyelaraskan hati, meneutralkan toksin, dan melegakan kesakitan dan mempunyai ciri-ciri antibakteria yang berkesan dalam rawatan bakteria Heliobacter pylori atau ulser perut.

Sejajar dengan fungsi madu yang amat berguna dalam merawat luka dan ulser, kajian lanjutan telah mendapati bahawa kandungan enzim glukosa oksidase di dalam madu menghasilkan hidrogen peroksida yang mampu mempercepatkan proses penyembuhan dan melindungi luka daripada infeksi bakteria. 

Kongsi