Research Ibnu Sina

Siapakah Ibnu Sina

Siapakah Ibnu Sina?

Ibnu Sina atau nama sebenarnya Abū ‘Alī al-Husayn ibn ‘Abd Allah ibn Hasan ibn ‘Ali ibn Sina juga dikenali sebagai Avicenna iaitu gelaran Ibrani yang dibaratkan telah dilahirkan di sebuah perkampungan besar bernama Kharmaithan yang bermaksud ‘Tanah Matahari’ berdekatan Bukhārā pada Ogos 980 bersamaan 370 Hijrah. Beliau merupakan tokoh keilmuan Islam yang terkenal dan digelar sebagai Bapa Perubatan Moden di Eropah. Sepanjang hayatnya, Ibnu Sina telah menghasilkan lebih 500 buah buku, termasuklah risalah khusus yang ditulis untuk individu-individu tertentu.

Bapa Ibnu Sina berasal daripada Balkh, sebuah bandar yang dikenali oleh Yunani sebagai Bectra. Balkh digelar sebagai ‘bergemerlapan’ dalam kesusasteraan Parsi pertengahan. Balkh merupakan bandar komersial dan pentadbiran yang penting, disamping menjadi pusat intelektual dan keagamaan. Pada zaman ini, iaitu zaman peradaban Helenistik di bawah pentadbiran raja-raja Greco-Bactrian, berlakunya penyebaran dan pertembungan peradaban Yunani dengan peradaban Timur.

Pada ketika ini jugalah ajaran Zoroaster, Buddha, Maniisme, Kristian (Nestorian), dan Islam bertembung. Daripada Balkh, bapa Ibnu sina telah berpindah ke Bukhārā, iaitu semasa daerah itu berada dibawah pemerintahan Sāmānid, Nūh kedua, anak kepada Mansūr yang menaiki takhta pada usia 13 tahun pada tahun 977. Bapa Ibnu Sina telah dilantik sebagai gabenor tempatan di Kharmaithan dan berkahwin dengan wanita Parsi bernama Setāreh yang bermaksud ‘bintang’ daripada perkampungan berdekatan dipanggil Afshaneh.

Selain daripada usul-asal, tiada maklumat lain yang direkodkan berkenaan ibu Ibnu Sina. Mereka dikurniakan dua orang zuriat iaitu Ibnu Sina dan abangnya. Namun begitu, asal usul bapa Ibnu Sina adalah tidak dapat dipastikan kerana orang Arab, Turki dan Parsi masing-masing mengaku bahawa bapa Ibnu Sina berasal daripada keturunan mereka.


RUJUKAN

  • Adamson P, editor. Interpreting Avicenna: Critical Essays. Cambridge University Press; 2013 Jul 4.
  • Goodman LE. Avicenna. Cornell University Press; 2006.
  • Ibn Sina AA. al-Qanun fi al-Tibb. Lebanon: Alamy Le-Al-Matbooat Institute. 2005:125-7.
  • Khan A. Avicenna (Ibn Sina): Muslim physician and philosopher of the eleventh century. The Rosen Publishing Group, INC; 2006 Jan 15.
  • Salleh S, Embong R. Educational Views of Ibnu Sina. Al-Irsyad: Journal of Islamic and Contemporary Issues. 2017 Jun 30:13-24.
  • Smith RD. Avicenna and the Canon of Medicine: a millennial tribute. Western Journal of Medicine. 1980 Oct;133(4):367.
  • Zargaran A, Mehdizadeh A, Zarshenas MM, Mohagheghzadeh A. Avicenna (980–1037 AD). Journal of neurology. 2012 Feb 1;259(2):389-90.
  • Erolin C, Shoja MM, Loukas M, Shokouhi G, Rashidi MR, Khalili M, Tubbs RS. What did Avicenna (Ibn Sina, 980–1037 AD) look like?. International journal of cardiology. 2013 Sep 1;167(5):1660-3.
  • Levy R. Avicenna—his life and times. Medical history. 1957 Jul;1(3):249-61.
  • Afnan SM. Avicenna: His life and works. Routledge; 2015 Oct 14.

Kongsi