Research Ibnu Sina

Sumbangan Ibnu Sina Dalam Perubatan Buah Pinggang & Batu Karang

Sumbangan Ibnu Sina dalam Perubatan Buah Pinggang dan Batu karang

Ibnu Sina telah menulis secara lengkap mengenai batu karang di dalam Ensiklopedia Kanun Perubatannya. Sejumlah 65 herba, lapan produk haiwan dan empat mineral telah disenaraikan oleh Ibnu Sina yang dapat memecahkan, menyingkirkan dan mencegah pembentukan batu karang. Sebagai contoh, Ibnu Sina mendapati bahawa formulasi habbatus sauda bersama madu dan air suam mampu menyingkirkan batu karang.

Dalam buku III Ensiklopedia Kanun Perubatan di bawah seksyen 18, Ibnu Sina menerangkan secara lengkap mengenai anatomi dan fisiologi sistem renal. Disamping mempelopori penemuan-penemuan baru berkaitan sistem renal, Ibnu Sina telah memperbetulkan kenyataan sarjana sebelum beliau dan menyatakan bahawa buah pinggang tidak mempunyai saraf sensor dalaman kerana sarafnya hanya meliputi lapisan luar sahaja. Selain itu, Ibnu Sina telah mempelopori kaedah analisis air kencing untuk mendiagnos penyakit buah pinggang. Ibnu Sina mengatakan bahawa haus, pembengkakan kaki (edema), oliguria (kurang air kencing), disuria (sakit ketika kencing), enuresis (kencing tidak terkawal), retensi (kencing tertahan) dan hematuria (kencing berdarah) merupakan gejala penyakit buah pinggang.

Malah beliau menerangkan secara terperinci mengenai jangkitan pada salur kencing, pembentukan nanah dalam sistem renal, penyumbatan, nefrolitiasis (batu karang), buah pinggang kecil, dan proteinuria (kencing berbuih). Selain itu, Ibnu Sina merupakan perintis penggunaaan tiub katerer yang diperbuat daripada kulit dan perak yang mempunyai banyak lubang untuk kemasukan ramuan herba pengeluaran air kencing. Ibnu Sina adalah yang pertama menunjukkan bahawa kencing berdarah mungkin disebabkan oleh faktor selain sistem urin seperti penyakit darah. Menurut Ibnu Sina, beliau percaya bahawa batu karang di buah pinggang disebabkan oleh gabungan bahan-bahan berlendir, mukus, nanah dan komponen darah di sekitar buah pinggang yang menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang, gejala penyumbatan, keradangan uretra atau pundi kencing dan haba berlebihan dalam salur urin. Ibnu Sina juga percaya bahaya batu karang adalah penyakit warisan keluarga dan ini selari dengan kajian saintifik yang mendapati bahawa sesetengah penyakit batu karang seperti batu karang sistina adalah disebabkan oleh faktor warisan yang menyebabkan buah pinggang menghasilkan asid amino berlebihan yang dipanggil sistinuria.

Menurutnya lagi, terdapat pelbagai jenis batu karang di mana ia boleh dibezakan berdasarkan warna, bentuk dan kepejalan yang pelbagai. Pemerhatian beliau terhadap kes batu karang mendapati, bahawa batu karang di buah pinggang jarang berlaku pada wanita kerana salur kencing yang pendek dan luas. Di samping itu, Ibnu Sina mengatakan bahawa sembelit boleh meningkatkan risiko mendapat batu karang. Ibnu Sina menegaskan bahawa pemakanan tidak sihat menjadi punca kepada pembentukan batu karang.

Oleh itu, beliau berpendapat bahawa muntah dapat mengeluarkan bahan-bahan yang boleh berubah menjadi batu karang. Beliau berpendapat makanan berat, produk tenusu, makanan masam, air tercemar, jus berwarna gelap boleh meningkatkan risiko mendapat batu karang. Formulasi rawatan batu karang Ibnu Sina merangkumi 6 mekanisma utama iaitu: 1) mampu melarutkan dan menghancurkan batu karang, 2) bersifat spesifik dan sasar terus kepada batu karang, 3) formula mampu bertahan lama di buah pinggang, 4) mampu menggalakkan pembuangan air kencing untuk mengeluarkan sisa batu karang, 5) mampu membaiki luka yang disebabkan oleh batu karang, 6) mampu melegakan kesakitan yang disebabkan oleh batu karang. Aktiviti fizikal seperti gimnastik, urutan, hidroterapi, menunggang kuda, menaiki tangga dipercayai boleh membantu mengeluarkan kerikil dan batu karang yang kecil. Selain itu, Ibnu Sina mendapati bahawa mandi dengan air bersulfur dapat menembusi lapisan kulit dan merawat batu karang. Bagi kes yang kronik, Ibnu Sina mencadangkan pembedahan bagi mengeluarkan batu karang.

Ibnu Sina memperincikan kaedah pembedahan bagi pembuangan batu karang termasuklah prosedur piawai, alatan pembedahan seperti forsep mencengkam dan kaedah menangani komplikasi hasil pembedahan. Beliau juga telah menetapkan jadual pemakanan khusus bagi mengelakkan pembentukan semula batu karang seperti mengelakkan makanan dan minuman berat, menggalakkan pengambilan air kosong dan minuman yang boleh menggalakkan pengeluaran air kencing.

RUJUKAN

  • Abu-Asab M, Amri H, Micozzi MS. Avicenna’s medicine: a new translation of the 11th-century canon with practical applications for integrative health care.
  • Simon and Schuster; 2013 Jul 4.
  • Adamson P, editor. Interpreting Avicenna: Critical Essays. Cambridge University Press; 2013 Jul 4.
  • Afnan SM. Avicenna: His life and works. Routledge; 2015 Oct 14.
  • Amr SS, Tbakhi A. Ibn Sina (Avicenna): the prince of physicians. Annals of Saudi medicine. 2007 Mar;27(2):134-5.
  • Ardakani Movaghati MR, Yousefi M, Saghebi SA, Sadeghi Vazin M, Iraji A, Mosavat SH. Efficacy of black seed (Nigella sativa L.) on kidney stone dissolution: A randomized, double‐blind, placebo‐controlled, clinical trial. Phytotherapy Research. 2019 May;33(5):1404-12.
  • Azarpour E, Moraditochaee M, Bozorgi HR. Humour Plants Mentioned in Holy Quran and Iranian Traditional Medicine. InBiological Forum 2014 Jul 1 (Vol. 6, No. 2, p. 237). Research Trend.
  • CHANGIZI AS, Shamsi M, Cyrus A, Bastani B, Tabatabayei SM. A Critical Review of the Works of Pioneer Physicians on Kidney Diseases in Ancient Iran Avicenna, Rhazes, Al-Akhawayni, and Jorjani.
  • Che CT, George V, Ijinu TP, Pushpangadan P, Andrae-Marobela K. Traditional medicine. InPharmacognosy 2017 Jan 1 (pp. 15-30). Academic Press.
  • Chen NN. Qi in Asian medicine. InEnergy Medicine East and West 2011 Jan 1 (pp. 3-10). Churchill Livingstone.
  • El-Gammal SY. Avicenna’s contribution to the development and progress of medical sciences.
  • Goodman LE. Avicenna. Cornell University Press; 2006.
  • Ibn Sina AA. al-Qanun fi al-Tibb. Lebanon: Alamy Le-Al-Matbooat Institute. 2005:125-7.
  • Israili AH. (14) Humoral Theory of Unani Tibb.
  • Janssens JL. An annotated bibliography on Ibn Sînâ (1970-1989): including Arabic and Persian publications and Turkish and Russian references. Leuven University Press; 1991.
  • Kardeh S, Choopani R, Nezhad GS, Zargaran A. The urinary catheter and its significant applications described by Avicenna (980-1037 AD) in the canon of medicine. Urology. 2014 Nov 1;84(5):993-6.
  • Khan A. Avicenna (Ibn Sina): Muslim physician and philosopher of the eleventh century. The Rosen Publishing Group, INC; 2006 Jan 15.
    Levy R. Avicenna—his life and times. Medical history. 1957 Jul;1(3):249-61.
  • Lockhart L. The Avicenna millenary celebrations in Persia. Journal of the Royal Central Asian Society. 1955 Jan 1;42(1):65-9.
  • Madineh SM. Avicenna’s canon of medicine and modern urology part I: bladder and its diseases.
  • Moghimipour E, Ghorbani A, Malayeri A, Siahpoosh A, Khodadoost M, Rajaeipour M, Angali KA, Abdehvand LZ. Evaluation of Nigella sativa and honey combination for treatment of kidney stone: a randomized, placebo controlled clinical trial. Journal of Contemporary Medical Sciences. 2019 Feb 26;5(1).
  • Shamsi M, Haghverdi F, Ashtiyani SC. A brief review of Rhazes, Avicenna, and Jorjani’s views on diagnosis of diseases through urine examination. Iranian journal of kidney diseases. 2014 Jul 1;8(4):278.
  • Zargaran A, Mehdizadeh A, Zarshenas MM, Mohagheghzadeh A. Avicenna (980–1037 AD). Journal of neurology. 2012 Feb 1;259(2):389-90.

Kongsi