Research Ibnu Sina

Sumbangan Ibnu Sina Dalam Perubatan Jantung

Sumbangan Ibnu Sina dalam Perubatan Jantung

Ibnu Sina merupakan perintis ilmu pulsologi iaitu disiplin ilmu perubatan yang mengkaji denyutan nadi dan degupan jantung. Beliau telah memperbaiki teori Galen dan mencadangkan bahawa setiap denyutan nadi terdiri daripada dua gerakan dan dua jeda secara berselang-seli iaitu pengembangan-jeda-penguncupan-jeda. Ibnu Sina juga merupakan perintis pendekatan moden untuk memeriksa denyutan nadi menggunakan pergelangan tangan yang masih diamalkan pada masa sekarang.

Ibnu Sina menerangkan secara terperinci bahawa rasa berdebar-debar (palpitation) disebabkan oleh kecederaan pada organ jantung itu sendiri, pada lapisan luar jantung atau pada organ bersebelahan dengan jantung. Dengan kata lain, semua kelemahan pada jantung boleh membawa kepada rasa berdebar-debar. Menurutnya lagi, apabila rasa berdebar-debar menjadi akut, ia boleh menyebabkan pengsan dan kematian jika terus berlanjutan.

Selain itu, Ibnu Sina juga adalah perintis perubatan psikofisiologi dan psikosomatik yang mengaitkan perubahan degupan jantung dengan perasaan dalaman seseorang. Beliau telah mendiagnosis penyakit cinta dan mengaitkannya dengan kadar degupan nadi. Dalam artikel lima dalam buku III Kanun Perubatan, Ibnu Sina menyifatkan serangan jatuh (drop attacks) yang disebabkan oleh penindihan arteri karotid sangat berkait rapat dengan gejala menguap, keletihan, dan berpinar-pinar adalah menyamai gejala sinkop neurogenik. Dalam istilah moden ia dikenalpasti sebagai hipersensitiviti sinus karotid dan sinkop vasovagal.

Selari dengan penemuan Ibnu Sina, kajian moden telah membuktikan bahawa berpinar-pinar merupakan gejala biasa bagi sinkop neurogenik manakala menguap dan keletihan merupakan tanda awal refleks vasovagal. Sementara itu, bagi penyakit aterosklerosis tiada konsep jelas yang dinyatakan oleh Ibnu Sina. Walau bagaimanapun, Ibnu Sina ada menjelaskan bahawa pengumpulan humor yang abnormal pada salur darah atau mana-mana ruang boleh menyebabkan gejala penyumbatan yang berbahaya terutamanya yang berlaku pada arteri jantung, otak dan hati.

Menurutnya lagi, penyumbatan adalah disebabkan oleh darah pekat beracun (bertoksin) yang terhasil daripada pemakanan yang tidak sihat. Selain itu, proses penghadaman makanan akan menghasilkan sisa dan pengulangan proses ini menyebabkan ia berkumpul dan menjadi toksin kepada badan. Menurut Ibnu Sina lagi, kalsifikasi salur darah adalah disebabkan oleh pemendakan hempedu hitam pada arteri. Ini bertepatan dengan penemuan sains moden yang mendapati kolesterol yang terkandung dalam hempedu yang boleh meningkatkan risiko penyumbatan melalui pembentukan batu kolesterol.

Dalam kajian kes berlainan, Ibnu Sina ada memperincikan penyakit berkaitan perikardium iaitu selaput pada jantung dimana pengumpulan toksin boleh terjadi pada ruang antara lapisan selaput ini dan otot jantung lalu menyebabkan keradangan jantung yang membawa kepada gejala berdebar-debar, pengsan dan kematian. Menurut beliau lagi, diet yang betul dan aktiviti senaman yang betul pada masa yang betul mampu mencegah penyakit fizikal termasuklah penyakit jantung.

Selain dalam Ensiklopedia Kanun Perubatan, Ibnu Sina memperincikan topik jantung dalam bukunya Kitab al-Adwiyah al-Qalbiyah (Ramuan Herba Jantung) yang telah dikarang pada tahun 1024 ketika beliau berada di Hamadhān. Buku ini diterjemahkan ke Latin pada tahun 1310/1313 oleh Arnaldo de Villanova dan dinamakan ‘De Medicines Cordialibus’. Edisi terjemahan kedua ke bahasa Latin telah dilakukan oleh Alpagus pada tahun 1520.

Antara penyakit berkaitan jantung yang disenaraikan dalam buku ini adalah sesak nafas, rasa berdebar-debar dan sinkop. Ibnu Sina menyatakan hubungkait antara penyakit psikologi seperti kemurungan, stres dan kebimbangan (anxiety) dengan fungsi jantung. Ibnu Sina mengatakan bahawa jantung merupakan organ utama dan menasihati supaya perawat lebih peka terhadap sifat (mizaj) pesakit kerana ia adalah asas untuk rawatan penyakit jantung. Ketidakseimbangan sifat adalah punca penyakit dan perlu diseimbangkan terlebih dahulu.

Disamping itu, Ibnu Sina mengelaskan bahan rawatan untuk penyakit jantung kepada tiga bahagian iaitu perangsang, diuretik dan agen penyejuk. Lapan puluh tiga jenis ramuan perubatan yang terdiri daripada herba, mineral dan produk haiwan telah dibincangkan sebagai rawatan penyakit jantung. Sebagai contoh, Ibnu Sina menggunakan Taxus baccata L. untuk merawat penyakit jantung. Selari dengan penemuan perubatan moden, herba ini bertindak sebagai penyekat saluran kalsium yang dapat merendahkan tekanan darah, merawat sakit dada dan aritmia serta melegakan pengecutan jantung dan arteri.

RUJUKAN

  • Abu-Asab M, Amri H, Micozzi MS. Avicenna’s medicine: a new translation of the 11th-century canon with practical applications for integrative health care. Simon and Schuster; 2013 Jul 4.
  • Adamson P, editor. Interpreting Avicenna: Critical Essays. Cambridge University Press; 2013 Jul 4.

  • Erolin C, Shoja MM, Loukas M, Shokouhi G, Rashidi MR, Khalili M, Tubbs RS. What did Avicenna (Ibn Sina, 980–1037 AD) look like?. International journal of cardiology. 2013 Sep 1;167(5):1660-3.

  • Goodman LE. Avicenna. Cornell University Press; 2006.

  • Gutas D. AVICENNA’S” MAḎHAB” WITH AN APPENDIX ON THE QUESTION OF HIS DATE OF BIRTH. Quaderni di Studi arabi. 1987 Jan 1;5:323-36.

  • Ibn Sina AA. al-Qanun fi al-Tibb. Lebanon: Alamy Le-Al-Matbooat Institute. 2005:125-7.

  • Janssens JL. An annotated bibliography on Ibn Sînâ (1970-1989): including Arabic and Persian publications and Turkish and Russian references. Leuven University Press; 1991.

  • Khan A. Avicenna (Ibn Sina): Muslim physician and philosopher of the eleventh century. The Rosen Publishing Group, INC; 2006 Jan 15.

  • Madelung W, editor. Avicenna’s Allegory on the Soul: An Ismaili Interpretation. Bloomsbury Publishing; 2015 Oct 19.

  • Zargaran A, Mehdizadeh A, Zarshenas MM, Mohagheghzadeh A. Avicenna (980–1037 AD). Journal of neurology. 2012 Feb 1;259(2):389-90.

  • Morewedge P. The’Metaphysica’of Avicenna (ibn Sīnā): A critical translation-commentary and analysis of the fundamental arguments in Avicenna’s’

  • Metaphysica’in the’Dānish Nāma-i’alā’ī'(‘The Book of Scientific Knowledge’). Routledge; 2015 Oct 14.

  • Amr SS, Tbakhi A. Ibn Sina (Avicenna): the prince of physicians. Annals of Saudi medicine. 2007 Mar;27(2):134-5.

  • Monadi T, Chabra A, Azadbakht M. Avicenna, a Persian physician. International Orthopaedics. 2020 Jan;44(1):197-8.

  • Lockhart L. The Avicenna millenary celebrations in Persia. Journal of the Royal Central Asian Society. 1955 Jan 1;42(1):65-9.

  • Pickering CJ. THE PERSIAN POETRY OF AVICENNA. The National review. 1890;14(83):673-9.

  • Ziai M. Avicenna. Clinical pediatrics. 1964 Feb;3(2):120-4.

  • Levy R. Avicenna—his life and times. Medical history. 1957 Jul;1(3):249-61.

  • Afnan SM. Avicenna: His life and works. Routledge; 2015 Oct 14.

     

Kongsi