Tentang Ibnu Sina

Ibnu Sina atau nama asalnya Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdullah Ibnu Sina. Dilahirkan pada 980 Masihi di Afshana, Bukhara, Uzbekistan. Eropah memanggil beliau Avicenna & menggelarnya “Bapa Perubatan Moden”.

Hanya ketika beliau berusia 10 tahun, beliau telah berjaya menjadi seorang Hafiz Al-Quran, menguasai Ilmu Tasawwuf, Fekah, Tafsir dan Usulluddin.

Ketika berusia 14 tahun, beliau sudah menguasai ilmu yang mengatasi gurunya sendiri, Abu Abdullah An-Natli.

Di usia 15 & 16 tahun pula, beliau sudah menguasai semua cabang ilmu Sains, Mantik, ilmu Hisab, Fizik dan Kaji Bintang (Astronomi), Falsafah, Politik, Logik, Matematik dan Kedoktoran.

Ditauliahkan sebagai Pengamal Perubatan pada usia 18 tahun.

Beliau juga digelar Al-Sheikh Al-Ra’is iaitu “Guru Para Raja”. Manakala dalam bidang kedoktoran beliau digelar “Raja Para Doktor” dan “Raja Ubat”.

Beliau mula mengembangkan bakat dalam bidang kedoktorannya apabila berjaya mengubati ramai orang antaranya termasuklah Raja Bukhara, Nooh Ibn Mansoor yang menghidapi penyakit misteri.

Baginda Raja sangat bersyukur atas kesembuhan beliau & mahu memberikan ganjaran kekayaan kepada Ibnu Sina. Namun, apa yang diminta, hanyalah akses untuk memasuki Perpustakaan Besar Sumanid.

Dalam bidang perubatan, Ibnu Sina adalah individu pertama yang membuat kajian tentang penglihatan dan fungsi mata selain mengkaji dan menemui penyakit-penyakit baharu, punca dan kaedah rawatan serta kajian tentang pengaruh kuman dalam penyakit.

Menghasilkan ubat dan preskripsi yang mujarab untuk pelbagai jenis penyakit & mencipta bius malah beliau juga telah mencipta benang khusus untuk menjahit luka pembedahan.

Picagari dan alatan pembedahan yang lain serta mencipta kaedah pemerhatian dan analisis dalam bidang perubatan.

Antara penemuan penyakit yang dikaji oleh Ibnu Sina ialah pengaruh kuman dalam penyakit, jangkitan virus seperti Tibi (TB), dan penyakit seperti rubella, alahan(allergy), cacar (smallpox), penyakit jiwa dan sebagainya.

Berdasarkan falsafah beliau, ilmu perubatan berkembang maju hingga ke hari ini. Ibnu Sina banyak membuat analisis tentang pelbagai penyakit dan menyenaraikan lebih kurang 760 jenis penyakit serta kaedah merawatnya.

Ibnu Sina banyak meninggalkan karya yang ditulis beliau, semuanya tidak kurang 250 buah buku & kebanyakannya berbahasa Arab dan Parsi.

Antara buku perubatan beliau yang menjadi rujukan Eropah & China sehingga ke hari ini adalah “Al-Qanoon Fi Al-Tibb” atau dalam Bahasa Inggeris “The Canon Of Medicine”.

Buku ini telah digunakan sebagai buku teks perubatan di Eropah dan Empayar Islam sehingga kurun ke-17. Buku tersebut membincangkan penyakit berjangkit berkaitan hubungan kelamin, penyakit jangkitan, teori dan beberapa penyakit lain.

Walaupun kematian Ibnu Sina pada umur 58 tahun menjadi satu kehilangan yang amat besar kepada umat Islam dari segi ilmu perubatan

Kesemua kaedah rawatan dan ilmu beliau terus berkembang ke seluruh pelusuk dunia hari ini.

Penyelidikan dan penulisan Ibnu Sina banyak membantu dan menjadi rujukan perubatan masa kini termasuklah Eropah dan China.

Banyak institusi pendidikan dan hospital ditubuhkan dalam menjalankan penyelidikan perubatan berdasarkan ilmu perubatan Ibnu Sina. Kini kebanyakan buku beliau diterjemahkan di dalam pelbagai jenis bahasa.

Antara negara yang pesat menjalankan rawatan kaedah perubatan Ibnu Sina ketika ini adalah di Timur Tengah, India, Pakistan dan Afrika Selatan.

Kongsi